5 cara untuk mengesan ovulasi

5 cara untuk mengesan ovulasi

Kesuburan seseorang wanita berkait rapat dengan keupayaannya mengeluarkan ovum atau benihnya sewaktu proses ovulasi. Benih perempuan akan keluar sekali dalam satu pusingan haid dan pada waktu tertentu sahaja. Sebab itulah waktu ovulasi merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu untuk mereka yang sedang merancang kehamilan kerana kebarangkalian untuk hamil pada waktu ini amatlah tinggi. 

Bagaimana mengesan ovulasi? 

Terdapat beberapa cara yang boleh dipraktikkan oleh wanita untuk mengetahui berlakunya proses ovulasi

1. Mengitung kitaran haid anda

Kitaran haid seseorang wanita diukur dari hari pertama haid sehingga hari pertama tempoh berikutnya. Kitar haid wanita normal ialah sekitar 28 hingga 32 hari. Secara asasnya, ovulasi boleh boleh dikira bermula pada hari tempoh terakhir haid anda ataupun dengan menganggarkan sekitar 12 hingga 16 hari dari tempoh berikut yang dijangkakan. Perlu diingat, pengiraan jangkaan tarikh ini hanya sesuai kepada wanita mempunyai kitaran haid yang teratur.

Untuk kitaran haid yang tidak teratur, ovulasi boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh berlaku pada hari yang berlainan setiap bulan. Maka, anda disarankan untuk mencatat panjang kitaran haid sekurang-kurangnya selama enam kitaran. Jumlah hari pada kitaran terpendek ditolak 18 untuk memperoleh hari subur pertama dalam kitaran haid tersebut. Jumlah hari pada kitaran terpanjang pula hendaklah ditolak  dengan 11 untuk mendapatkan hari subur terakhir dalam kitaran haid tersebut.

2. Tanda-tanda fizikal

Lazimnya, petanda fizikal yang paling nyata ialah keluarnya lendir yang berlebihan dari kemaluan. Cecair lendir ini dikenali sebagai cecair serviks. Kadangkala lendir ini berwarna coklat, kenyal dan jernih seperti putih telur mentah. Pada hari yang tidak subur, cecair ini biasanya lebih kental dan kadangkala tidak keluar sama sekali.

Di masa subur juga, anda mungkin merasa bahawa seluar dalam anda terasa sempit, meskipun ia bukanlah akibat kekenyangan atau pertambahan berat badan. Hal ini biasa terjadi kerana pada masa ovulasi ini tubuh sedang meyimpan air dalam jumlah yang banyak. Anda juga mungkin akan berasa sakit atau senak dibahagian bawah perut.
Selain itu, situasi masa subur ini hampir sama dengan situasi kehamilan, sehingga banyak sekali hormon yang berkumpul pada masa ini dan menyebabkan payudara anda terasa lebih lembut berbanding hari-hari biasa.

3. Peningkatan suhu tubuh

Peningkatan ini terjadi bukan kerana wanita sedang sakit, tapi dalam keadaan badan sihat seperti biasa. Peningkatan suhu tubuh yang terjadi adalah sekitar 0.2 darjah Celcius setiap hari selama 10 hari berturut-turut. Walaubagaimanapun, anda juga perlu peka dengan sebarang aktiviti harian anda yang mampu mempengaruhi suhu badan anda seperti corak tidur yang tidak tetap.

4. Perubahan pada posisi serviks

Untuk menguji hal ini, anda boleh memasukkan jari anda yang bersih secara lurus ke dalam vagina. Anda akan dapat menyentuh bagian hujung serviks di mana rasanya seperti bahagian hujung hidung. Ketika hari-hari lain, posisi serviks ini jauh lebih ke atas, sehingga tidak dapat tersentuh oleh jari. Namun, tidak begitu ramai wanita yang gemar menggunakan cara ini kerana berasa kekok.

5. Melakukan Ujian Pengesan Ovulasi

Ianya hampir sama seperti  paket ujian kehamilan. Alat ini mengesan kehadiran hormon perluteinan (LH) melalui air kencing dalam masa 12 hingga 24 jam sebelum berlakunya ovulasi. Sungguhpun cara ini nampak mudah, namun beberapa sumber menyatakan bahawa agak sukar sebenarnya untuk kita membaca keputusannya. Ia juga tidaklah semurah ujian pengesan kehamilan dan wanita yang tidak menganggarkan waktu yang tepat untuk melakukan ujian ini mungkin akan memerlukan beberapa paket untuk mendapatkan keputusannya. 

Mencuba untuk hamil semasa ovulasi
Telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka sperma dicipta dengan beberapa kelebihan lain supaya dapat menambahkan kebarangkalian untuk hamil. Sperma boleh bertahan selama 3-5 hari dan jumlahnya pula amat banyak, sehingga berjuta-juta. Ini bermakna, sekiranya suami-isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka masih ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Walaupun begitu, anda dinasihatkan supaya tidak terlalu obses kerana ia boleh menjadikan anda tertekan sekiranya belum berjaya. Stress juga menghilangkan ‘mood’ anda untuk bersama pasangan anda.

 


0 comments: